Thursday, December 27, 2012

Warkah buat anakandaku sayang…


Sayang,

Di saat mama menulis warkah ini, sayang mama yang pernah singgah dalam kehidupan mama telah pun pergi meninggalkan mama buat selama- lamanya. Tanggal 11.12.2012, merupakan tarikh yang amat memilukan hati mama. Sayang nekad dan memberontak untuk pergi meninggalkan rahim mama dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan mama.

Sayang,

Di saat tarikh 12.12.2012, semua orang memperkatakan tarikh bertuah berkenaan. Namun, mama merasakan tarikh tersebut begitu sukar buat mama. Mama berada di wad dengan berita yang sungguh menyedihkan, manakala ibu- ibu lain bergembira pada tarikh tersebut talkala menerima cahayamata. Tetapi buat mama, pada tarikh itu, mama ditinggalkan sendirian oleh anakanda pertama mama.

Sayang,

Mama tahu dan sedar, pemergian sayang selama- lamanya adalah atas kesalahan mama sendiri. Mama kurang pengetahuan dan mama kurang bertanya pada yang berpengalaman. Mama begitu sibuk dengan kerja, sehingga terpaksa menahan sakit dan lewat merujuk ke hospital. Mama sedar sayang, semuanya adalah salah mama. Mama akan ingat kesalahan- kesalahan mama ini sampai bila- bila sayang.

1)      Mama kurang bersedia. Benar sayang, di saat mama dan papa menerima berita kehadiran sayang, kedua- dua kami terkejut dah kaget. Kami tidak bersedia untuk menerima kehadiran sayang. Ianya terlalu awal buat mama dan papa. Namun, mama cuba memujuk hati mama setiap hari untuk menerima kehadiran sayang. Ramai yang menasihati mama termasuklah opah, atuk, mak long, mak ngah dan maksu. Namun mama juga mengakui ,papa kurang menerima kenyataan itu. Sepanjang sayang berada dalam rahim mama, mama banyak berkecil hati dengan papa. Sepanjang perjalanan ke pejabat, mama sentiasa menangis mengenangkan ketidak sediaan papa. Mama mohon maaf sayang.

2)      Mama membiarkan sayang kepanasan. Benar sayang, mama sungguh pentingkan diri sendiri. Di saat perut mama kesakitan, mama sapukan minyak angin untuk meredakan nya, Tapi mama silap, mama telah biarkan sayang kepanasan di dalam. Sayang sudah tentu tidak selesa. Mama sedih sayang, mama kejam.

3)      Mama membiarkan sayang terhuyung hayang setiap pagi. Sayang, mama terpaksa memandu hampir 100 kilometer untuk pergi dan pulang dari pejabat. Mama tahu sayang, jalan yang mama lalui kurang elok dan terlalu banyak bertampal- tampal. Akibatnya sayang mama terpaksa mengharunginya sama. Sudah semestinya sayang mama kurang selesa dan ianya sangat menyakitkan sayang. Mama teruk, sayang.

4)              Mama bebankan sayang dengan barangan berat. Sayang, mama degil sangat. Mama tetap bekerja seperti biasa. Memakai kasut tumit tinggi dan mengangkat fail yang banyak. Mama bebankan sayang dengan barang- barang tersebut. Bukan sahaja di pejabat, malahan apabila membeli belah, mama degil untuk mengangkat barangan berat yang dibeli. Mama ingat mama mampu. Tapi sebenarnya anak mama tidak mampu. Mama bodoh, sayang.

5)    Mama sentiasa dalam kesedihan. Mama silap sayang, kerana mama membiarkan sayang menerima tekanan di atas kesedihan mama. Mama sedih dengan layanan papa yang kurang memberi perhatian pada mama sejak mengetahui kehadiran sayang. Mama menangis dan termenung mengenangkan nasib mama kerana mama menagih perhatian dari seorang suami dan bakal seorang bapa.



Sayang,

  Di saat mama kesakitan, mama berada di rumah opah dan atuk. Mama menjalani tempoh berpantang untuk memulihkan semula kesihatan mama. Di mana papa? Papa terlalu sibuk. Papa berada di pejabat dan tidak langsung mahu mengambil cuti. Papa juga jarang menghubungi mama walaupun mama kerap membuat panggilan dan menghantar sms. Mama terlalu kecil hati dengan sikap papa. Namun, pernah terdetik, mama bersyukur kerana sayang tidak berada dalam kehidupan yang sibuk papa dan mama. Kerna kurang perhatian dari orang yang kita sayang adalah satu perasaan yang menyakitkan. Biarlah mama seorang yang merasainya, sayang.

Sayang,

  Ketahuilah, kehadiran sayang banyak menyedarkan mama. Mama akan memperbaiki diri mama yang serba kekurangan ini. Dan mama akan sentiasa mengingati bahawa, sayang pernah bertakhta di hati mama.


Mama mu yang serba kekurangan.











1 comment:

  1. Akmall, sedihnya baca :( Nanti kalo weekend hang rasa nak jumpa kita, contact tau. InsyaAllah, kita boleh balik n jumpa hang. Jangan pendam sorang. Be strong, ok?!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...