Saturday, June 16, 2012

Anak Angkat dan Roti Bakar Kluang


Merantau ke bumi Selatan, menuju sebuah daerah tanpa sebarang panduan dan tanpa sebarang pengalaman. Tanpa sebarang ikatan, ukhwah dijalin diantara keluarga angkat. Tersemat di hati hingga kini, budi tidak dapat diganti, jasa tidak dapat dibalas. Sejuta terima kasih buat hamparan perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga angkat. 

  (Kedatangan disambut mesra oleh wakil Kerajaan Negeri Johor)
 
Daerah Kluang, buminya Johor memberi pengalaman yang bermakna sewaktu saya mengikut satu program atas tuntutan kerjaya. Program yang dikenali sebagai “Program Penempatan Daerah’’ ini memaksa saya untuk menetap sementara bersama keluarga angkat yang dipilih disamping menyiapkan tugasan yang diberikan iaitu menjalankan kajian dan penyelidikan ke atas kemudahan dan pembangunan di sana. 

Seminggu yang biasanya dilalui dengan singkat dirasai begitu lama rentetan menghadapi segala yang baru termasuk persekitaran yang baru, suasana yang baru, orang keliling yang baru dan tidak ketinggalan cara hidup yang baru. Lantas, membuatkan saya merenung dan merindui zon selesa saya di kampung halaman. Sukar untuk saya keluar sebentar dari zon selesa selama ini, tetapi keadaan yang memaksa, lalu hati dipujuk untuk menjadi kuat selama tujuh hari itu.

Tugas digalas bersama ahli kumpulan yang semuanya terdiri daripada lelaki. Sedikit sukar berkerja bersama mereka kerana cara kerja bagi lelaki dan wanita ada sedikit perbezaan. Namun kekangan masa memerlukan keserasian itu dicipta dengan segera agar tugasan dapat disiapkan tepat pada waktunya. Jabatan- Jabatan Kerajaan menjadi sumber rujukan untuk mendapatkan maklumat kajian. Temuramah bersama Pemimpin Tempatan termasuk Penghulu dan Ketua Kampung turut dilaksanakan. Penat bukan kepalang pada siang hari. Balasannya, waktu malam menjadi sunyi dek terlalu lena tanpa diulit mimpi.

 
(Menyiapkan tugasan)
Mengambil kesempatan memanaskan tekak di kala sebelum senja selepas penat melaksanakan tugas di Pekan Kluang begitu menyenangkan. Pekan Kluang cukup sinonim dengan ‘‘Kluang Station’’ yang terletak di stesen keretapi dan kini terdapat juga di Pekan Kluang menjadi tempat santapan pilihan saya. Seperti biasa, santapan roti bakar dan mee kari menjadi juadah untuk mengisi perut yang kosong. Sangat sedap!!! Mungkin kawan- kawan boleh mencubanya apabila ke sana!!!

 
(Roti Bakar Kluang Station!)
 
Kami menetap di sebuah penempatan di Mukim Simpang Renggam yang letaknya sebuah kampung bernama Kg. Chokro. Penduduk disana begitu menyenangi kedatangan kami sehingga kami berasa terhutang budi terhadap kebaikan yang diberikan. Maka, kami berpendapat untuk mengadakan sedikit gotong royong di kampung tersebut dan membuat papan tanda zikir di laluan utama kampung berkenaan. Jutaan terima kasih buat semua keluarga angkat dan penduduk Kg. Chokro atas segala kenangan indah yang diberikan!!!

(Hasil tangan sebagai kenangan)
 
p/s: Alhamdullilah, tugasan tersebut telah siap dan dihantar. Moga segala usaha dan kepenatan itu dibalas dengan markah yang menyenangkan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...