Monday, June 11, 2012

Dipindah, memindah, dan berpindah


Tiga ungkapan untuk sebuah kisah yang memenatkan. Memerlukan kekuatan fizikal dan mental sepanjang ianya berlaku dan menanti noktah.

Ianya bermula apabila hubby dipindahkan tempat kerja. Daripada daerah besar ke daerah yang lebih kecil. Walaupun saiz daerah dikatakan lebih kecil, namun tugas yang akan digalas adalah lebih besar dari sebelumnya. Saya mencemburui kesibukkan bekerja itu.

Maka, bermulalah satu pengorbanan. Pengorbanan pertama adalah berjauhan. Sememangnya sebelum ini pun berjauhan juga, namun selepas enam (6) bulan berkursus mengharapkan agar kami dapat tinggal di daerah yang sama, namun tertulis bahawa kami perlu berpisah di daerah yang berlainan. Tetap bersyukur kerana masih di negeri yang sama. Pengorbanan kedua ialah rumah sewa kesayangan. Rumah sewa yang pertama sebagai suami isteri di mana setiap dekorasi dan hiasannya adalah wujud dari persetujuan dan perbalahan semasa awal perkahwinan. Bukanlah perbalahan besar, sekadar berbeza pendapat. Akhirnya, mahligai pertama sebagai suami isteri wujud atas dasar toleransi. Dan pengorbanan ketiga yang mungkin tiada nokhtah ialah menahan rindu. Ia satu pengorbanan yang terselit penyeksaan dan terubat dengan sebuah pertemuan.

Maka, proses memindahkan barangan dan keperluan bermula. Hampir seminggu melangsaikan tugas tersebut dengan kerahan masa dan tenaga sehingga terkulai kepenatan dan mengalami demam dan selsema. Terima kasih buat hubby kerana terlalu banyak bertoleransi terhadap masa dan tenaga. Ia, saya tahu, hubby bukanlah menidakkan kebolehan seorang wanita untuk melakukan kerja- kerja berat tetapi lebih kepada menghormati sisi kemampuan seorang isteri.

1 Jun 2012, episod berpindah bermula. Tiga hari masa diambil untuk menatarias mahligai baru dengan bantuan keluarga tersayang. Kami perlu mengejar masa lantaran mahu mengadakan Kenduri Doa Selamat dan Bacaan Yassin. 

                         (Mahligai Baru)

Alhamdulilah, akhirnya segala penat lelah bertemu noktah. Mahligai baru siap dihias indah dan majlis berjalan lancar.

                  (Sepanjang Majlis berlangsung)

Terima kasih kepada yang hadir dan tidak lupa kepada keluarga tersayang dan saudara mara yang terlalu banyak membantu.Terima kasih juga buat hubby tersayang yang terlalu banyak berkorban masa, tenaga dan kewangan demi menyiapkan mahligai ini agar selesa didiami.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...